Saturday, October 16, 2010

Teknologi satelit untuk bangunkan landskap

PENGGUNAAN komputer dalam pembangunan landskap telah menjadi tumpuan utama bagi kebanyakan negara, terutama di negara-negara membangun.
Pengurusan tanah dengan menggunakan komputer ialah satu bidang teknologi yang amat berguna dalam pembangunan dan kemajuan di Malaysia, khususnya dalam pengurusan sumber semula jadi negara.
Kerajaan Negeri Selangor misalnya mengambil langkah penting dalam pengurusan tanah dengan membangunkan landskap menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Kerajaan sememangnya menitikberatkan penggunaan GIS melalui program yang dilaksana dalam Rancangan Malaysia Ketujuh yang berkaitan dengan pengurusan sumber asli, khususnya hutan.
Pusat Remote Sensing Negara (Macres) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dipertanggungjawabkan untuk mengurus tanah melalui program pemetaan kawasan tanah yang berisiko tinggi seperti di Cameron Highlands, Bukit Fraser, Genting Highlands dan pusat pentadbiran Putrajaya.
Penggunaan teknologi satelit untuk membangunkan sumber asli sudah menjadi fokus utama kebanyakan negara termasuk negara maju.
Dalam membangunkan lanskap bagi tujuan pengurusan tanah di Taipei, teknologi satelit telah digunakan untuk menentukan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber asli, pembangunan industri pertanian, bandar dan luar bandar. Kerajaan Taipei memanfaatkan teknologi satelit untuk menentu dan mengawal pembangunan tanah, sumber air dan infrastruktur di bandar tersebut bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar dan meningkat kualiti hidup rakyat.
Penggunaan teknologi satelit juga semakin diperlukan kerana ia mempunyai kemampuan meramal perkembangan alam sekitar dan tahap tanah yang boleh dibangunkan oleh sesebuah negara.
Kini, apa yang menjadi fokus dalam pembangunan landskap sedunia ialah memanipulasi penggunaan satelit untuk memelihara dan mengawal sumber semula jadi secara makro, berterusan dan berpanjangan. Antara program landskap yang dirancang ialah pembangunan penanaman pokok secara tersusun dan strategik.
Di Australia Barat, pelan induk landskap negara merupakan satu keperluan yang utama kerana mempunyai motif memelihara alam semula jadi supaya lebih terancang bagi memulihara kawasan-kawasan tanah yang sensitif seperti kawasan tadahan air. Pelan induk dirancang dan dipraktikkan bagi menentukan pengeluaran negara terjamin, khususnya hasil pertanian.
Fokus paling penting dalam penggunaan teknologi satelit ialah menentu dan menetapkan pola-pola pembangunan tanah negara, strategi perancangan tanah, konflik penggunaan tanah, kualiti tanah pertanian dan menghapuskan pembangunan tanah yang tidak sistematik, khususnya di luar bandar.
Perancangan pelan induk pertanian atau lanskap yang rapi mempunyai kesan signifikan mengawal usaha-usaha yang boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap proses perancangan pembangunan tanah sesebuah negara.
Satu perkara yang perlu juga diberi perhatian pada masa kini ialah penggunaan satelit dalam pembangunan dan penyelidikan landskap bumi yang berkemungkinan besar dapat meninjau pembangunan tanah secara menyeluruh dan berkesan.
Penggunaan satelit berkonsepkan DGPS (Differential Global Positioning Systems) yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat merupakan alat pengesan berkuasa tinggi yang boleh digunakan untuk memberi sumbangan penting terhadap industri pertanian, khususnya menentukan lokasi program penanaman mengikut musim, menganalisis dan memperoleh maklumat tentang jadual bercucuk tanam, masalah penanaman dan corak pertumbuhan pokok berpandukan pengaruh alam sekitar atau iklim tertentu.
Selain itu, terdapat beberapa lagi satelit yang dikategorikan sebagai Earth Observation Satellite untuk masa depan yang dianggap mampu dipelbagaikan kegunaan atau dimensinya termasuk bagi pembangunan landskap sejagat.
Kebanyakan negara menghebah maklumat mengenai landskap negara masing-masing menerusi Internet dengan menggunakan istilah landcare, land analysis atau land monitoring.
Satu lagi maklumat yang menerangkan pembangunan tanah atau lanskap yang menarik ialah tentang kemajuan tanah di Florida. Teknologi satelit digunakan untuk menentukan kawasan atau penempatan yang ingin dibangunkan termasuk lokasi perdagangan, tempat penginapan, pertanian, sistem tadahan air dan tanah lapang.
Selain daripada menentukan kawasan-kawasan tanah yang dibangunkan, satelit juga boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk mengawal maklumat khususnya berkaitan program pembangunan tanah atau landskap.
Usaha mengkaji pembangunan dan pengurusan tanah dengan menggunakan satelit merupakan suatu tuntutan yang penting.
Mengetahui dan memahami penggunaan satelit akan membantu kita untuk menentukan corak landskap negara secara menyeluruh, yang sekali gus mewujudkan sistem pengurusan sumber semula jadi yang berkesan pada masa depan.

No comments:

Malas???

Malas???
Jom Kita Lawan Malas Tu...!!!

ALQURAN n Business online

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com