Saturday, October 16, 2010

Sidang Kemuncak Asia Timur


SIDANG Kemuncak Asia Timur (EAS) pertama akan diadakan di Kuala Lumpur pada 10-14 Disember 2005.


Ia akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin 16 buah negara terdiri daripada ASEAN+3 (iaitu 10 negara ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan), serta India, Australia dan New Zealand.
Akar umbi ke arah EAS yang dijangka mendorong kepada penubuhan Komuniti Asia Timur (EAC) bertitik tolak daripada beberapa perkembangan global yang signifikan sebelumnya apabila bentuk-bentuk regionalisme baru muncul selepas tamatnya Perang Dingin.

Terdapat dua perkembangan yang boleh dijejaki sehingga membawa kepada EAS iaitu pertama, gagasan Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) yang gagal direalisasikan tetapi menjadi permulaan usaha ke arah EAS manakala keduanya ASEAN+3 yang dibentuk kesan daripada krisis kewangan Asia 1997.
Idea ke arah pembentukan EAEC (sebelumnya dicadangkan sebagai East Asia Economic Group atau EAEG) dikemukakan pertama kali oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 Disember 1990 semasa jamuan makan malam meraikan lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Peng ke Malaysia.
Kemudiannya, persidangan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang bertemu di Kuala Lumpur bermula 7 dan 8 Oktober 1991 menerima EAEC sebagai satu gagasan ASEAN. Keahlian EAEC yang dicadangkan terdiri daripada enam negara ASEAN pada ketika itu, serta Jepun, China, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Vietnam.

Matlamat utama cadangan penubuhan EAEC oleh Dr. Mahathir ialah sebagai persediaan negara-negara Asia Timur berhadapan dengan keghairahan sesetengah rantau yang cenderung ke arah pembentukan blok-blok ekonomi yang menyukarkan negara-negara rantau lain berdagang dengan blok berkenaan.
Namun begitu gagasan EAEC tidak dapat direalisasikan kerana kecaman, tentangan dan campur tangan AS ke atas lima perkara termasuk EAEC dituduh menuju kepada pembentukan blok perdagangan tertutup selain dianggap usaha `membunuh' Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Jepun turut enggan mengetuai EAEC walaupun berkali-kali dipujuk Malaysia kerana tidak berani mengambil risiko ke atas hubungan perdagangan dan keselamatan Tokyo-Washington yang amat signifikan berbanding hubungan Jepun-ASEAN.

Jepun sebaliknya mencadangkan supaya EAEC menerima kemasukan AS, Australia dan New Zealand. Kegagalan memperoleh komitmen di kalangan negara-negara Asia Timur serta bantahan Washington menyebabkan gagasan EAEC terkubur.

Tidak kurang ramainya penganalisis hubungan antarabangsa yang mengakui bahawa, walaupun EAEC gagal direalisasikan, namun cetusan idea tersebut merupakan inisiatif awal ke arah pembentukan EAS.
Kewujudan ASEAN+3 bertitik tolak daripada inisiatif ASEAN yang menjemput tiga buah negara di Asia Timur Laut iaitu China, Jepun dan Korea Selatan untuk terlibat dalam pertemuan di Kuala Lumpur pada Disember 1997 sebahagian besarnya bertujuan membincangkan langkah-langkah mengatasi kesan krisis kewangan Asia.

Pertemuan yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN telah mewujudkan Sidang Kemuncak ASEAN+3 pertama secara formal ekoran daripada krisis kejatuhan nilai mata wang baht yang merudum pada Julai 1997.

Kesediaan Jepun menyumbang sebanyak AS$80 bilion (RM296 bilion) melalui pakej bantuan Miyazawa Plan membantu Indonesia, Thailand, Filipina, Malaysia dan Korea Selatan yang terkena kesan krisis kewangan Asia menjadi asas kukuh bahawa Asia Timur perlu bergerak secara kolektif dalam menangani krisis yang dihadapi. Di bawah kerangka ASEAN+3 kemudiannya, Jepun semakin aktif memainkan peranan dalam Sidang Kemuncak ASEAN+3 sehingga pelbagai kerjasama dibentuk melibatkan komuniti Asia Timur.
Sidang Kemuncak ASEAN+3 ketiga pada 1999 bersetuju dengan kenyataan bersama berhubung Kerjasama Asia Timur yang menjadi sinergi mempercepatkan EAS dianjurkan.

Pada November 2000, persidangan pemimpin-pemimpin ASEAN+3 di Singapura telah bersetuju secara formal dengan ketetapan untuk mengkaji kemungkinan mewujudkan EAS. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN+3 keenam diadakan di Phnom Penh pada tahun 2002, kesemua pemimpin negara-negara Asia Timur bersetuju secara konsensus dengan idea penubuhan EAC. Di persidangan di Bali pada Oktober 2003, terdapat saranan kuat di kalangan negara-negara Asia Timur supaya peranan Sidang Kemuncak ASEAN+3 diperluaskan menjadi EAS.

Penganalisis
Presiden Korea Selatan, Roh Moo-hyun pada Oktober 2003 menyatakan, ``ASEAN+3 akan berkembang secara beransur-ansur ke arah Sidang Kemuncak Asia Timur, yang akan membawa ke arah penubuhan Komuniti Asia Timur. Oleh itu negara-negara Asia Timur Laut wajar menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN+3 secara bergilir-gilir setiap tiga atau empat tahun sekali sebagai langkah sementara sehingga Sidang Kemuncak Asia Timur berjaya dianjurkan.'' Pada Disember 2003, Jepun menganjurkan sidang kemuncak bersama ASEAN sempena 30 tahun hubungan Jepun-ASEAN yang dianggap oleh sebilangan penganalisis di Jepun sebagai sokongan padu ke arah EAS. Pertemuan tersebut dianggap begitu signifikan disebabkan sidang kemuncak melibatkan ASEAN sebelum ini tidak pernah dianjurkan di luar ASEAN dan dianggap akan memberi ruang kepada China serta Korea Selatan untuk turut menganjurkan sidang kemuncak bersama ASEAN kemudiannya.

EAS merupakan cabaran awal ke arah memperluaskan peranan dan skop ASEAN+3 yang kemudiannya merintis jalan ke arah penubuhan EAC. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran awal hubungan intra-Asia Timur yang perlu ditangani supaya perbincangan selanjutnya ke arah EAC tidak menemui kegagalan. Misalnya, walaupun Indonesia, Singapura dan Jepun bersetuju dengan EAS namun ketiga-tiga negara ingin memasukkan AS ke dalam kerangka EAS. Alasan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga negara ialah, pertama, dalam segala aspek melibatkan Asia Timur seperti perdagangan, kewangan dan pelaburan; politik dan keselamatan; serta sosio dan budaya, peranan AS di rantau ini amat signifikan. Kedua, kebimbangan ketiga-tiga negara ke atas dinamisme ekonomi China yang dibimbangi akan memperluaskan hegemoni di Asia Timur. Manakala kepada Jepun, Perikatan Keselamatan Jepun-AS amat signifikan dalam mempertahankan keselamatan Jepun daripada ancaman dan kemungkinan serangan luar. Oleh itu, Jakarta, Singapura dan Tokyo berhujah bahawa Washington perlu dili-bat-kan dalam EAS, tambahan pula Australia, New Zealand dan India akan sama-sama terlibat dalam sidang kemuncak pertama pada Disember akan datang.

EAS merupakan pernyataan visi hubungan politik dan kesepaduan ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan bagi mengenal pasti kepentingan bersama ke arah perundingan forum-forum multilateral di peringkat global seperti mana Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sehubungan itu EAS perlulah bertindak sebagai mekanisme yang mengintegrasikan negara-negara Asia Timur ke dalam komuniti Asia Timur yang akan menyumbang ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global.

No comments:

Malas???

Malas???
Jom Kita Lawan Malas Tu...!!!

ALQURAN n Business online

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com