Saturday, October 16, 2010

Projek 5 pembangunan koridor tawar pakej lengkap kepada pelabur asing



Perasmian SCORE itu, sekali gus melengkapkan pelancaran kesemua lima koridor pembangunan wilayah, yang bermatlamat untuk mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah di negara ini, selain membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

Kehadiran kelima-lima koridor pembangunan ekonomi itu, secara langsung menawarkan pakej yang lengkap bagi menarik pelaburan asing dalam pelbagai sektor, dan seterusnya membantu merangsang ekonomi negara dalam jangka panjang.

Penganalisis optimis kelima-lima koridor pembangunan ekonomi itu akan memberi kesan yang sangat positif, khususnya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan membuka peluang perniagaan serta pelaburan di negara ini.

Penganalisis CIMB Investment Bank Bhd. Sharizan Rosely berkata, langkah kerajaan melaksanakan koridor-koridor pembangunan ekonomi itu adalah sesuatu yang realistik.
“Aktiviti pembangunan dalam wilayah-wilayah ini mampu menyumbang prospek pertumbuhan positif kepada sektor- sektor ekonomi dan kepada ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya.
Setiap koridor pembangunan ekonomi itu mempunyai fokus yang strategik, sama ada daripada segi pembangunan sosial mahupun daripada segi ekonomi, katanya.

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), koridor pertama yang dilancarkan pada 4 November 2006 di selatan Johor, menjurus kepada mewujudkan peluang pelaburan serta pertumbuhan baru dengan sektor hartanah, infrastruktur dan pelaburan langsung asing (FDI) menjadi pemacu utama ekonomi dalam wilayah tersebut.

WPI yang diurus oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) merupakan koridor yang terbesar daripada segi nilai pelaburan yang mempunyai pelaburan keseluruhan sebanyak RM382 bilion dengan sebahagian besarnya merupakan pelaburan FDI.

Wilayah Pembangunan Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan pada 30 Julai 2007 pula, melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara disasarkan untuk memperkasakan industri-industri utama sebagai pencetus pertumbuhan.

NCER, yang diletakkan di bawah tanggungjawab Agensi Pelaksana Koridor Utara (NCIA) menumpukan kepada sektor perkilangan, pertanian dan pelancongan melibatkan pelaburan sebanyak RM177 bilion dalam tempoh 18 tahun.

Wilayah Pembangunan Ekonomi Koridor Timur (ECER) pula dilancarkan pada 29 Oktober 2007 bertujuan untuk membasmi kemiskinan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, melibatkan pelaburan berjumlah RM112 bilion, dengan sektor minyak dan gas, pertanian serta pelancongan menjadi pemacu bagi ekonomi di wilayah tersebut.

Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dilancarkan pada 29 Januari lalu pula lebih berkonsepkan untuk mengenal pasti aktiviti ekonomi bernilai tinggi di Sabah.
SDC yang diletakkan di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Sabah (SEDIA) memberi tumpuan untuk membangunkan sektor pertanian, pelancongan, perkilangan dan logistik dalam tempoh 18 tahun akan datang, melibatkan pelaburan sebanyak RM105 bilion.

SCORE pula yang merupakan koridor terakhir dilancarkan lebih berkonsepkan pembangunan sumber-sumber asli di Sarawak.

SCORE yang diletakkan di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Serantau (Recoda) itu memberi tumpuan kepada pembangunan sumber-sumber tenaga dalam tempoh 22 tahun, melibatkan pelaburan sebanyak RM334 juta.

“Kesemua koridor yang dilancarkan oleh kerajaan itu memiliki konsep yang berlainan dan disasarkan untuk wilayah terbabit sahaja bagi memberi impak yang lebih berkesan.

“Sehubungan itu, kami yakin sasaran utama koridor-koridor ini untuk mencapai pembangunan seimbang, akan terlaksana,” kata Sharizan.

‘‘Tenaga merupakan teras utama Koridor Sarawak dan menjadi elemen terpenting bagi menjayakan pembangunan koridor ini. Sesungguhnya pembangunan tenaga hidro, arang batu, petroleum dan gas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

No comments:

Malas???

Malas???
Jom Kita Lawan Malas Tu...!!!

ALQURAN n Business online

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com