Thursday, July 28, 2011

2008: Syarikat swasta Vs Syarikat GLC dalam MEB

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Seperti yang dijangkakan, Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pagi Selasa, akan membuka lebih banyak peluang bagi pelaburan sektor swasta dengan penjualan kepentingan dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, berkata pengumuman mengenai penjualan selanjutnya aset bukan teras kerajaan dan membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menambah pelaburan di luar negara untuk menyediakan lebih banyak ruang bagi pelabur-pelabur baharu dalam pasaran domestik adalah sejajar dengan apa yang dicadangkan oleh kerajaan.

Beliau berkata Bursa Malaysia berharap dapat menyaksikan apungan bebas syarikat-syarikat tersenarai sebanyak lebih daripada 50 peratus pada masa akan datang, tetapi ia tidak akan menjadikannya mandatori kerana tahap 25 peratus sekarang mencukupi.

Juga harus ada lebih banyak pelabur strategik yang baik, yang boleh menambah nilai kepada perniagaan untuk memasuki pasaran, bukan hanya perniagaan portfolio, katanya.

KWSP yang melabur enam peratus daripada asetnya di luar negara, akan ibenarkan menambah pelaburannya di luar negara bagi mempelbagaikan portfolionya dan memberikan lebih banyak ruang bagi peserta baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa mengumumkan MEB pada persidangan Invest Malaysia 2010, di sini hari ini.



Khazanah sahaja, dalam sembilan bulan kebelakangan ini, menjual kepentingan yang besar dalam Tenaga Nasional Bhd, Malaysia Airports Holding Bhd dan PLUS Expressway Bhd bagi tujuan meningkatkan kecairan kaunter-kaunter ini, kata Najib, sambil menambah bahawa lebih banyak penjualan begini mesti dibuat.

Yusli berkata bursa saham itu juga ingin melihat transformasi di bawah MEB terlaksana dengan cepat.

"Model ekonomi ini amat relevan bagi Malaysia. Saya tidak fikir ada orang yang tidak mahu menyertainya kerana siapa yang tidak mahu pendapatan tinggi. Jadi, saya tidak faham bagaimana orang tidak bersetuju dengannya," katanya ketika diminta mengulas tentang MEB pada Invest Malaysia 2010.

Beliau berkata persekitaran baharu akan mewujudkan perniagaan baharu dan memperluas perniagaan sedia ada bagi Bursa Malaysia.

Rangka kerja semasa bursa itu amat mencukupi sekarang tetapi jika ada ruang untuk peningkatan, itu akan dilakukan, tegasnya.

Tentang isu ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam, beliau berkata Perdana Menteri menyasarkan sebuah masyarakat yang lebih terangkum, yang akan mendapat faedah daripada MEB.

"Semua rakyat Malaysia berperanan menyertai peluang-peluang pelaburan. Itulah prinsip yang dicadangkan," kata Yusli, sambil menambah bahawa tiada siapapun akan dipinggirkan.

Beliau berkata pelaburan yang semakin banyak akan menambah kekayaan semua rakyat Malaysia dan, masyarakat Bumiputera yang merupakan penduduk teramai, pastinya akan mendapat faedah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Strategi dan Kajian Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, berkata MEB dirumus khusus untuk menjaga kepentingan negara dan rakyatnya.

Beliau berkata pelabur-pelabur asing akan lebih yakin dengan ketelusan dan pendekatan yang diambil kerajaan dalam MEB dan dengan demikian mendapati Malaysia lebih menarik sebagai satu destinasi pelaburan.

Mengenai pengkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Dr Mahani berkata ia sepatutnya telah lama dilakukan kerana ia berperanan memperkenal Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan dan ia perlu bersaing dengan agensi-agensi lain.

Pengkorporatan akan membolehkan MIDA memperkenal Malaysia dari platform dan kuasa yang lebih kukuh untuk bersaing dengan lebih baik dengan agensi-agensi asing, katanya.

Ini akan membantu MIDA membuat keputusan dengan lebih cepat, kata Dr Mahani.

Tentang langkah membenarkan KWSP menambah pelaburannya di luar negara, Dr Mahani berkata itu suatu langkah yang baik kerana pasaran saham Malaysia sangat kecil.

Bagaimanapun, pelaburan di luar negara mestilah dibuat dengan berhati-hati bagi memelihara kepentingan negara, katanya, sambil menambah bahawa KWSP boleh mempertimbang negara-negara seperti China, India, serta pasaran-pasaran baru berkembang dan negara-negara maju.

Bekas ketua pengarah MIDA, Datuk R Karunakaran, berkata pengkorporatan MIDA adalah sesuatu yang dihasratkan oleh agensi itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Pemerkasaan ini akan membolehkan MIDA memberikan kelulusan dan membuat keputusan dengan lebih cepat bagi pelaburan langsung asing (FDI) katanya.

"Ini akan banyak membantu dalam menarik FDI dan menggalakkan pelaburan domestik. Diharapkan pelaksanaannya akan dipercepat," ujar beliau.

Tentang penyuburan sektor swasta, katanya, usaha ke arah ini tidak mencukupi kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersaing dengan syarikat-syarikat swasta.

"Lebih baik dibiarkan sektor swasta berkembang subur dan menyumbang kepada pembangunan daripada GLC dan agensi menyekat kebebasan sektor swasta (bergerak maju)," katanya.

Datuk Nicholas S. Zefferys, Presiden Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia, berkata perubahan di bawah MEB bukan hanya untuk masa sekarang, tetapi juga untuk masa depan.

"Ia adalah perubahan yang sangat baik dalam kerajaan Malaysia, yang saya percaya akan menarik lebih banyak pelabur berkeyakinan ke Malaysia. Ia adalah rangka kerja yang berjaya," tegasnya.

Pada masa lalu, kerajaan terlalu banyak campur tangan, dan ini menjadi halangan bagi pembangunan Malaysia selanjutnya.

"Halangan-halangan ini sebenarnya membantutkan kemajuan Malaysia. Tetapi sekarang, membuka ekonomi kepada lebih banyak pelaburan asing adalah perubahan dasar yang saya percaya disambut baik oleh pelabur," kata beliau.

Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, menyuarakan harapan agar di bawah Kegiatan Ekonomi Utama Negara (NKEA) sektor automotif dan pengangkutan akan diberikan sedikit tumpuan.

Beliau berkata Proton lebih berminat terhadap teknologi hijau kerana syarikat itu sedang membangunkan inisiatif baharu seperti kereta hibrid.

"Kami perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menambah nilai," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata prinsip asas MEB ialah agar Malaysia bergerak maju dan menjadi berdaya saing untuk menarik lebih banyak pelaburan dan menjana pertumbuhan.

Pendekatan ini seimbang, kerana ia terangkum, tegasnya.

Tentang penyuburan semula sektor swasta, perbezaannya sekarang ialah program transformasi yang menyediakan satu cara berbeza untuk menghasilkan sesuatu, katanya.

"Kita mulai menyaksikan beberapa hasil dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)," katanya.

Beliau berkata standard pendidikan juga diberikan tumpuan utama dan kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menarik bakat dari dalam dan luar negara.

"Tetapi ujian sebenar ialah melaksanakan rancangan transformasi itu," tegas beliau.

Persatuan Pelabur Malaysia, Datuk Dr P.H.S. Lim, berkata Malaysia haruslah menggembleng sumber-sumbernya yang ada untuk menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi, mengurangkan rasuah dan memperkukuh nilai ringgit, menyasarkan pengagihan pekerjaan yang lebih baik dalam kalangan rakyatnya, dan menyediakan peluang-peluang yang lebih baik bagi pendidikan tinggi dan biasiswa.

Beliau berkata kerajaan juga harus membantu pengeluar-pengeluar tempatan mencapai tahap automasi yang lebih tinggi, di samping mengurangkan jumlah pekerja asing dan mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni untuk hidup bersama.

Profesor Dr Ahn Choong Yong, dari Agensi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Asing Korea berkata Malaysia mempunyai begitu banyak kelebihan sebagai sebuah negara berbilang kaum yang membolehkannya mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan perkhidmatan.

Malaysia juga perlu menambah tenaga kerjanya yang bertutur dalam bahasa Inggeris dengan memasukkan mata pelajaran bahasa Inggeris dalam kurikulum dari tahap sekolah rendah lagi kerana ini akan terus menarik pelabur asing, katanya.

Juga harus ada lebih penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan, katanya, sambil menegaskan bahawa pada masa ini agihan penyelidikan dan pembangunan berbanding keluaran dalam negara kasar Malaysia masih rendah.

Ini perlu diperluaskan untuk membolehkan negara ini beralih menjadi ekonomi nilai tokok yang tinggi, katanya.

Jumlah pelajar sains dan kejuruteraan juga perlu ditambah, saran beliau.

No comments:

Malas???

Malas???
Jom Kita Lawan Malas Tu...!!!

ALQURAN n Business online

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com