Friday, June 29, 2012

Sekolah Model Khas

01/05/1998

Sekolah model khas -- Gabungkan pelajar luar bandar yang berpotensi di setiap daerah


KUALA LUMPUR 30 April - Sekolah model khas yang menggabungkan pelajar luar bandar yang berpotensi dan cemerlang dari tahun empat hingga tingkatan lima akan diwujudkan di setiap daerah di negara ini.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek itu akan memilih sekolah yang sedia ada dengan menambah keupayaan dan kemudahan seperti makmal sains, asrama, bilik darjah dan rumah guru supaya dapat menjadi pusat kecemerlangan pendidikan di sesebuah daerah.
Menurut Najib, konsep sekolah ini adalah untuk memperkembangkan konsep Sekolah Model Baling di Baling, Kedah dan yang berbeza cuma Sekolah Model Baling adalah sekolah baru.


Beliau menambah pihak kementerian masih dalam proses mengenal pasti sekolah di setiap daerah untuk dijadikan sekolah khas itu, katanya kepada pemberita selepas lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Kementerian Pendidikan serta pelancaran buku Kod Braille Wasilah Bacaan al-Quran oleh Seri Paduka, di sini.


Sekolah Model Baling menyediakan 18 bilik darjah dengan saiz kelas 35 orang serta kemudahan asrama bagi semua murid dan kemudahan 35 unit rumah guru kelas 'F'.
Pengurusan dan organisasi sekolah itu diletakkan di bawah kawalan seorang pengetua sekolah.
Najib berkata, walaupun sekolah khas bukan berasrama penuh tetapi pengambilan pelajarnya akan diawasi dan dihadkan kepada pelajar yang berpotensi dan cemerlang serta menyediakan guru-guru yang lebih berwibawa manakala pengetuanya pula mempunyai rekod yang cemerlang.


Mengenai format baru bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2001, Najib berkata, kementeriannya masih lagi dalam kajian tetapi konsep yang hendak diperkenalkan ialah perubahan paradigma iaitu tidak lagi menekankan penghafalan sebaliknya lebih kepada menguji kefahaman dan pengetahuan.


Najib turut menjelaskan bahawa penggredan universiti sama ada universiti awam dan swasta adalah berdasarkan kepada penilaian yang objektif oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dengan kerjasama penilai dari luar negara supaya penilaian itu diterima sebagai kayu ukur global.
''Kita akan menilai daripada segi keupayaan mengajar, penyelidikan, kemudahan universiti, kokurikulum dan pengurusan universiti.


''Penilaian ini tidak terhad kepada universiti sahaja sebaliknya akan memperincikan lagi mengikut fakulti sebab terdapat universiti yang kejayaannya berdasarkan kepada penonjolan fakulti dan bukan universiti pada keseluruhannya,'' katanya.


Najib menambah, penggredan ini akan didedahkan kepada pengetahuan umum dalam bentuk laporan tahunan LAN yang boleh dibeli dan disiarkan oleh pihak akhbar.


Najib berharap, pendedahan ini dapat menjadi garis panduan kepada ibu bapa dan pelajar untuk membuat pemilihan dan bagi universiti pula dapat berfungsi dalam situasi dan keadaan yang lebih kuantitatif.

No comments:

Malas???

Malas???
Jom Kita Lawan Malas Tu...!!!

ALQURAN n Business online

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com