Tuesday, October 19, 2010

Bajet pertanian 2006 (Biofuel/Bionexus...etc)




Bajet untuk sektor pertanian bagi tahun 2006 adalah bajet yang telah lama ditunggu dari segi visi dan strateginya. Inti pati bajet untuk sektor ini adalah ``propertumbuhan'' yang dipandu oleh sains dan teknologi.
Walaupun sains dan teknologi adalah wahana utama yang dijangka memesatkan pertumbuhan, namun beberapa kelembapan dalam sektor pertanian dan makanan dan luar bandar ditangani serentak.


Sektor pertanian juga dijangka menerima kesan positif daripada strategi yang digubal untuk sektor ekonomi secara keseluruhan. Iaitu, inti pati Bajet 2006 secara keseluruhan adalah selari dengan keperluan pertumbuhan dalam sektor pertanian.
Strategi Bajet 2006 bertujuan untuk (i) menyediakan khidmat proaktif daripada kerajaan untuk membantu kegiatan ekonomi; (ii) menyediakan persekitaran mesra-perniagaan; (iii) membina modal insan dan (iv) memperbaiki kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat.
Walau bagaimanapun, jika diteliti rapi strategi yang telah diambil, Bajet 2006 adalah bajet yang menjanjikan pembangunan ekonomi yang seimbang, setara dan lestari atau mapan.
Pembangunan yang seimbang dibuktikan oleh penekanan kepada pengurangan jurang perbezaan pertumbuhan antara (i) sektor (pertanian dan bukan pertanian); (ii) Malaysia Barat dan Timur dan (iii) bandar dan luar bandar.
Peruntukan RM2.8 bilion telah dikhususkan untuk pertumbuhan pertanian untuk membangunkan sektor ini selari dengan sektor pembuatan.
Untuk mengurangkan jurang pertumbuhan Malaysia Barat dan Timur, prasarana dan kemudahan di Malaysia Timur akan dipertingkatkan.
Sejumlah RM5.7 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar. Daripada jumlah ini RM2.7 bilion adalah untuk pelaksanaan projek meningkatkan nilai faedah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Peruntukan juga diberi untuk meningkatkan pendidikan, bekalan air dan elektrik.
Isu pertumbuhan setara atau ekuiti masih merupakan isu utama apabila masalah kemisikinan akan ditangani dengan peruntukan RM700 juta untuk latihan keusahawanan, khidmat sokongan dan sebagainya.
Untuk meningkatkan agihan hartanah antara etnik, Yayasan Hartanah Bumiputera akan ditubuhkan untuk meningkatkan syer bumiputera dalam agihan hartanah.
Kesan kenaikan petrol yang mendadak telah mendorong kerajaan untuk mengeluarkan beberapa polisi untuk menggalakkan penggunaan ``biofuel'' dan penyelidikan yang berkaitan.
Polisi ini adalah selari dengan kepentingan ``pertumbuhan yang lestari'' terutama dari segi penggunaan sumber yang tidak boleh diperbaharui (non-renewable resource) iaitu petrol.
Strategi ini adalah sangat bertepatan sekali kerana biofuel adalah mesra alam disamping faedah ekonomi yang lain, terutama pertumbuhan industri biotenaga. Dengan kekuatan industri kelapa sawit di Malaysia, strategi membantu pertumbuhan industri biofuel mampu menjadikan negara ini gergasi/pengeluar global untuk bahan biofuel dunia di masa muka.
Kepentingan kelestarian sumber hutan juga diberi penekanan di mana kerajaan akan memberi RM200 juta untuk membangun penanaman semula hutan secara lestari.
Falsafah ``pembangunan lestari/mapan'' untuk sektor ekonomi secara keseluruhan adalah sangat bertepatan dengan tuntutan semasa pembangunan pertanian.
Pembangunan yang mengetepikan isu persekitaran dan kehausan sumber akan menjejaskan kepentingan generasi akan datang di samping membantut pertumbuhan jika berlaku malapetaka kesan pembangunan yang rakus.
Dalam kata ringkas, Bajet 2006 menjanjikan persekitaran makro yang subur dan lestari untuk membolehkan sektor pertanian bertumbuh dengan pesat.
Bajet 2006 menampilkan beberapa isu praktikal yang perlu ditangani di samping agenda bioteknologi yang dijangka akan memandu sektor ini ke tahap yang lebih tinggi.
Visi kerajaan ke atas kepentingan bioteknologi adalah; bioteknologi berpotensi untuk (i) meningkatkan produktiviti pertanian; (ii) meningkatkan nilai tambah keluaran yang berasaskan-bio (seperti phytomedicines, perasa dan pewangi, biopesticides dan pharmaceuticals/nutraceuticals); (iii) melahirkan pelbagai keluaran baru dan (iv) meningkatkan pendapatan negara.
Beberapa langkah institusi telah diambil untuk melaksanakan projek bioteknologi ini seperti BioValley, BioNexus, Bioproducts Validation Centre. Kerajaan akan menubuhkan Malaysian Life Sciences Capital Fund untuk menyediakan dana pelaburan dalam bidang ini.
Pengalaman di Barat menunjukkan bahawa, pelaburan ke atas bioteknologi lazimnya berisiko tinggi dan tidak dapat memberi pulangan yang pantas. Pengalaman di negara maju menunjukkan bahawa satu keluaran bioteknologi (therapeutic) mengambil masa purata 12 tahun untuk dibangunkan dengan pelaburan bernilai AS$800 juta dan memiliki 15 peratus kebarangkalian untuk sampai ke pasaran dan hanya 30% daripada keluaran yang dipasarkan dapat menebus semula kos pembangunan.
Pulangan
Bermakna, pulangan daripada pelaburan bioteknologi berisiko tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk membuahkan hasil.
Namun, agenda bioteknologi adalah kritikal untuk Malaysia bagi meningkatkan daya saing pertaniannya.
Maka, langkah untuk menyediakan tapak penyelidikan dalam bioteknologi adalah menepati tuntutan masa.
Walau bagaimanapun, pemantauan dari semasa ke semasa adalah penting untuk memastikan pelaburan yang besar dalam bidang ini berbaloi dan membawa hasil.
Walau bioteknologi adalah wahana utama memandu pertumbuhan, kerajaan menyedari kelembapan sektor pertanian terutama makanan adalah masih serius.
Kerajaan telah menambah Dana Makanan kepada RM300 untuk industri makanan. Peruntukan ini bukan setakat merangkumi pengeluaran, tetapi kegiatan bekalan rantaian seperti pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran.
Untuk membantu eksport keluaran pertanian di Malaysia, kerajaan akan menempatkan Pejabat Kounsel Pertanian di luar negara.
Kemasukan syarikat multinasional (MNC) seperti Carrefour, Makro, Tesco, Giants ke pasaran runcit barang pengguna (termasuk makanan dan minuman) telah merubah pengurusan rantaian bekalan dan struktur persaingan pasaran.
Salah satu kesannya adalah penumpuan kuasa firma runcit dalam pasaran barangan pengguna sebagaimana yang berlaku di negara Barat.
Di Amerika Syarikat misalnya, lima firma runcit terbesar di negara itu (Wal-Mart, Kroger, Costco, Albertsons dan Safeway) menguasai separuh daripada syer pasaran pengguna.
Fenomena yang sama diperhatikan di Eropah.
Di Malaysia, firma runcit global iaitu Tesco dan Carrefour menguasai 46% daripada jualan runcit pasar hyper dan 31% pengguna menyatakan bahawa dua firma ini sebagai sumber utama untuk tujuan membeli-belah.
Nyata, tren pengukuhan kuasa firma runcit global ini sedang berlaku di Malaysia walaupun tidak sebesar sebagaimana di negara maju.
Isu utama yang memberi implikasi kepada Malaysia adalah termasuk ekuiti, persaingan pasaran, peranan perantara pasaran, kemampuan sektor pengeluaran memenuhi tuntutan bekalan yang murah tetapi berkualiti tinggi dan kemampuan petani kecil untuk menyertai sistem bekalan yang baru.
Sebagai langkah untuk berdepan dengan pemusatan (concerntration) firma runcit ini, kerajaan melalui GLC (Khazanah Nasional) akan mewujudkan Syarikat Pertanian dan Makanan bermodalkan RM500 juta untuk berfungsi sebagai ejen rantaian bekalan pertanian.
Fungsi syarikat ini merangkumi pengurusan pengeluaran, pemprosesan, pemasaran, agihan dan pembinaan logistik yang berkaitan.
Sama ada syarikat ``kerajaan'' ini mampu bersaing dengan firma MNC global yang lain, bergantung kepada gabungan banyak faktor seperti pengurusan sumber dan teknologi, strategi pemasaran, situasi pasaran dan sebagainya.
Namun, sejarah menunjukkan bahawa beberapa ``syarikat kerajaan'' didapati sukar menyaingi firma swasta terutama apabila orientasi syarikat adalah campuran keuntungan dan matlamat sosial.
Nyata bahawa Bajet 2006 telah cuba menyediakan strategi untuk menjana pertumbuhan sektor ini melalui sains dan teknologi tanpa mengetepikan masalah usang sektor ini seperti kelembapan pekebun kecil, prasarana luar bandar dan logistik pemasaran yang serba tak lengkap, sektor makanan yang lembap.
Namun dalam mana-mana projek, menterjemahkan polisi kepada realiti tidak semudah ungkapan.
Perincian pelaksanaan, pertanggung- jawaban, pemantauan dana dan pengurusan sumber merupakan cabaran besar yang tidak mudah ditangani.
Rekod beberapa projek kerajaan tidak begitu menggalakkan terutama dari segi pemantauan agihan dana dan pelaksanaan.
Maka, langkah pelaksanaan dan pemantauan adalah sama kritikal dengan penyataan polisi.
- PROF. DR. FATIMAH ARSHAD ialah Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM).

1 comment:

Malas???

Malas???
Jom Kita Lawan Malas Tu...!!!

ALQURAN n Business online

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
www.SearchTruth.com